Ahad, 24 April 2016

#PRN Sarawak: PAS terkilan PAN letak calon di DUN sama

SHAH ALAM: PAS melahirkan rasa terkilannya ekoran Parti Amanah Negara (PAN) turut meletakkan calon di lima kerusi yang sama dengan parti itu di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Menurut Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee, keadaan ini akan menyebabkan undi pembangkang akan berpecah kepada dua dan ini akan memberikan peluang yang besar kepada Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

PAS sebelum ini pernah menyatakan supaya PKR, DAP dan PAN untuk tidak meletakkan calon di kawasan DUN yang sama namun perbincangan dengan PKR menemui kegagalan.

PAN dan PAS akan bertanding di lima kerusi yang sama iaitu DUN Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, dan Beting Maro.

Menurut Jofri, tindakan PAN bertanding di kerusi PAS memberi gambaran jelas matlamat sebenar mereka yang ingin menghapuskan PAS.

Jofri juga mempersoalkan sebelum ini Pakatan Harapan (PH) pernah memberitahu akan memastikan hanya pertandingan dua penjuru yang berlaku iaitu antara pembangkang dan BN tetapi perkara sebaliknya berlaku.

"Mereka hendak menggantikan PAS bukan semudah menggantikan 'tayar' mereka masih baru tidak sampai setahun kita (PAS) sudah melebihi 60 tahun,"katanya lagi.

Pengarah Pilihan Raya PAN, Dr Hatta Ramli berkata pihaknya tiada masalah untuk berdepan dengan lawan daripada mana-mana parti selain gabungan Pakatan Harapan.

Setakat ini hanya DAP yang masih belum mengumumkan senarai calon mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan