Rabu, 23 Januari 2013

Dua Pemain Bola Sepak Antara Lapan Ditahan Ketika Berjudi

Pemain bola sepak kelab kedah
ALOR SETAR 23 Jan. - Dua pemain sebuah kelab bola sepak Kedah berumur 26 dan 25 ditahan ketika bermain judi melalui komputer di sebuah premis Taman Seri Ampang, di sini hari ini.
Mereka ditahan bersama enam yang lain termasuk dua pelajar sekolah menengah dalam operasi di dua premis di kawasan perumahan itu pada pukul 2 petang tadi, kata Pegawai Turus Hal Ehwal Polis Kedah, Asisten Supritendan Roslan Masjin.
Selain pelanggan berusia antara 15 tahun dan 40-an itu, polis turut menahan dua wanita yang bekerja di premis terbabit, katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini.
Beliau berkata, polis juga merampas 16 set komputer yang diubah suai menjadi mesin judi dari premis pertama dan 13 set komputer serta satu set kamera litar tertutup di premis kedua.
"Pemilik premis pertama cuba mengaburi mata orang ramai dengan menjual kad tambah nilai telefon bimbit dan menjual aksesori telefon bimbit di bahagian depan kedai.
"Di bahagian belakang kedai tersebut, mereka menjual nombor ekor haram (judi catit taruh haram) dan di sebuah bilik bahagian tepi kedai mereka meletakkan 16 set komputer berkonsepkan perjudian," katanya.
Roslan yang juga Ketua Operasi Task Force Ketua Polis Kedah berkata, premis pertama juga telah diserbu polis sebanyak tiga kali sejak empat bulan lepas, tetapi pemiliknya masih tidak serik dengan tindakan yang dikenakan.
Katanya, kedua-dua premis tersebut diserbu kerana menjalankan operasi tanpa lesen dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(b) Enakmen Hiburan 1993.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan