Khamis, 14 Mei 2015

1.59 juta saman berstatus waran tangkap



KUALA LUMPUR - Hanya 20,966 daripada 1.59 juta saman berstatus waran tangkap yang dikeluarkan susulan kegagalan pengguna jalan raya membayar saman dan menghadiri perbicaraan di mahkamah, diselesaikan sebelum penguatkuasaan Ops Warta, minggu depan.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd. Fuad Abdul Latiff berkata, pihaknya memberi peluang kira-kira dua minggu kepada pesalah trafik membuat semakan dan bayaran sebelum tindakan tegas diambil, namun hanya sebilangan kecil menjelaskannya.

"Kita telah kenal pasti pesalah trafik yang memiliki waran tangkap ini di mana mereka berada dan minggu depan kita akan jejak dan tahan mereka seterusnya bawa ke mahkamah," katanya dalam program bual bicara Bernama Radio di sini hari ini.

Mohd. Fuad berkata, angka itu sangat rendah, sambil berpendapat bahawa pesalah trafik tidak menggunakan peluang diberikan walaupun hebahan telah dibuat sejak 30 April lepas.

Katanya, angka 1.59 juta itu merupakan baki dari 1.8 juta saman yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Ops Selamat 5 yang dilancarkan semasa Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan