Rabu, 23 Januari 2013

PKR Bimbang, PAS Hilang Undi

KUALA LUMPUR, 23 Jan — Terdapat kebimbangan dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR), PAS berisiko kehilangan undi bukan Islam pada Pilihan Raya 2013 kerana sekatan parti Islam itu dalam isu kalimah “Allah” dan dasar pengasingan jantina di Kedah dan Kelantan. Beberapa pemimpin PR dan penggubal undang-undang mengakui kontroversi tersebut menjejaskan imej pakatan pembangkang itu menjelang pilihan raya pada Jun ini tetapi berharap dialog dan kebijaksanaan akan menumpulkan pengaruh konservatif dalam dasar PAS.
Hujung minggu lalu Pengerusi DAP Karpal Singh meminta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berjumpa dengan badan pembuat dasar parti tersebut, Majlis Syura, untuk mengubah keputusan perkataan Arab “Allah” tidak boleh diterjemahkan ke dalam atau diterjemahkan dari bahasa lain kerana ia khusus digunakan oleh umat Islam sebagai rujukan kepada Tuhan. “Keputusan Majlis tersebut baru-baru ini perkataan ‘Allah’ tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam bercanggah dengan pendirian yang diambil oleh kepimpinan parti komponen Pakatan Rakyat,” kata Karpal sambil menambah ia akan menjejaskan saudara Sikhnya kerana perkataan tersebut terdapat dalam kitab suci mereka, Guru Granth Sahib. Sambil menegaskan pilihan raya semakin hampir, ahli parlimen Bukit Gelugor itu berkata kerajaan Kedah pimpinan PAS perlu berhenti “mencipta masalah” dengan mengeluarkan garis panduan mengenai kod pakaian wanita seperti yang berlaku baru-baru ini untuk Sambutan Tahun Baru Cina di negeri tersebut. Garis panduan tersebut telah pun diubahsuai untuk acara-acara kebudayaan tetapi mencetuskan reaksi di kalangan penduduk bukan Melayu dan telah menjadi satu isu kempen Barisan Nasional (BN). Ahli Parlimen Serdang DAP Teo Nie Ching telah mengecam PAS Kedah diatas garis panduan Tahun Baru Cina negeri tersebut dengan mengatakan dasar itu akan mensabotaj persiapan pilihan raya PR dan menyebabkan kehilangan sokongan kaum Cina. Seorang pemimpin PAS yang tidak mahu dinamakan mengakui pendirian konservatif parti akan menjejaskan sokongan daripada pengundi bukan Islam. “Terdapat kesan dan kita perlu kurangkan,” katanya, sambil menambah golongan konservatif adalah puncanya kerana mereka menguasai kepimpinan tertinggi parti. Pemimpin DAP dan PKR lain berwaspada tentang isu Allah dan ketetapan PAS yang telah menjejaskan bukan Islam di Kedah dan Kelantan. Ahli Parlimen Bukit Bendera DAP Liew Chin Tong berkata sudah menjadi pengetahuan umum partinya dan PAS berpecah mengenai isu-isu tersebut walaupun beliau tidak bercakap tentang kesan daripada dasar PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan