Rabu, 30 Januari 2013

Cari kakak, terpisah sejak 44 tahun lalu

Cari kakak, terpisah sejak 44 tahun lalu
Samsudin Mohd
 
PEKAN – Perpisahan ibu dan bapa sejak 44 tahun lalu menyebabkan seorang adik lelaki terpaksa menjejaki kakak kandungnya yang tidak pernah ditemui sejak kecil.

Samsudin Mohd, 47, kini melakukan pelbagai usaha untuk mencari Fauziah Mohd, 48 yang terpisah sejak tahun 1969.

Menurut Samsudin, dia bertekad untuk mencari kakak sulungnya itu kerana ibunya, Minah Mahmud, 68 terlalu rindukan Fauziah.

“Saya ada bertemu dengan keluarga baru ayah di sini, dan dimaklumkan bahawa ayah sudah meninggal dunia pada 2008," katanya.

Katanya, dia turut meminta bantuan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesan alamat terkini Fauziah namun statusnya gagal dikesan walaupun sebelum ini dia mendapat maklumat mengatakan Fauziah berada di Kelantan.

Menceritakan kembali mengenai perpisahan itu, menurutnya, dia terputus hubungan dengan kakaknya sejak 1969 apabila ibu dan arwah bapanya bercerai ketika mereka tinggal di Kampung Ajil, Terengganu.

“Kakak diambil dan dijaga arwah bapa manakala saya pula berada di bawah jagaan ibu," katanya.

Samsudin menjelaskan, keluarga arwah ayah di sini ada memaklumkan bahawa Fauziah bersama suami dan anak-anaknya pernah tinggal sementara di rumah mereka di Kampung Tanah Putih pada 1997, namun berpindah setahun kemudian.

“Ketika itu, kakak saya mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan. Saya juga dimaklumkan bahawa mereka menetap di Kelantan,” katanya.

Menurutnya, anak sulung Fauziah yang hanya dikenali sebagai Farah ada datang ke rumah keluarga ayahnya di sini untuk menjemput mereka ke majlis perkahwinannya beberapa tahun lalu.

“Nombor telefon yang diberikan kepada keluarga ayah juga sudah tidak dapat dihubungi. Malah, kakak sekeluarga tidak pernah lagi datang berjumpa keluarga di sini,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Samsudin di talian 019-5190759 atau 019-9208119 dengan segera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan