Selasa, 29 Januari 2013

Mengimarah agama setelah kewafatan Nabi

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, memenuhi undangan Dato’ Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin, Penaung Yayasan As-Sofa di Majlis Ilmu dan Sambutan Maulidurasul 1434H serta Majlis Pengkhataman Kitab Al-Muwatta di Masjid Negeri Seremban, malam tadi.
“Sesungguhnya usaha mengimarahkan agama Islam yang merupakan tiang agama ini tidak pernah berhenti pada hujung waktu, walaupun  setelah kewafatan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam, penghulu nabi Allah,” katanya.
Majlis ilmu yang penuh barakah itu menghimpunkan seramai 7,000 orang pelajar, ilmuan serta agensi kerajaan dan swasta bermula dengan solat Maghrib berjemaah, disusuli dengan usrah yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin bagi memenuhi ruang waktu sementara menanti waktu Isyak.
“Hakikatnya, tidak cukup sekadar pujian, usaha yang dilakukan oleh Yayasan As-Sofa melalui penaung, Dato’ Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin ini amat disanjung tinggi. Hasil usaha ini telah memberikan ilmu pengetahuan yang amat baik buat generasi muda agar mendalami ilmu agama dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.
Sejurus selesai solat Isyak berjemaah, bacaan Asamaul Husna, Qasidah disusuli zikir munajat ke hadrat Allah Taala diselang-seli, mengundang seribu kerahmatan dan keberkatan daripada Allah Taala.
“Cadangan mewujudkan Universiti As-Sofa di atas tanah kurniaan DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan mewujudkan Fakulti Kuliyyah Al-Azhar, yang mana tenaga pengajarnya didatangkan dari Universiti Al-Azhar merupakan satu-satunya usaha dakwah yang akan memberi faedah kepada umat Islam di negara ini,” tambah beliau.
Dalam ucapan ringkasnya, Menteri Besar NS mengucapkan tahniah di atas penganjuran majlis yang amat berjaya ini.
“Kewujudan Yayasan As-Sofa memang tepat pada waktunya kerana Kerajaan Negeri  melalui Dasar Pelajaran Negeri serius dan fokus menginstitusikan pendidikan agama di negeri ini.”
Mohamad turut menyeru agar ilmu agama yang dipelajari ini dapat dimanfaatkan dalam kehidupan kerana cabaran dan dugaan dunia ada kalanya melalaikan.
“Setidak-tidaknya, apabila ilmu agama sudah tertanam di dada, ia akan memberikan kesedaran buat kita. Malah, ilmu agama yang dipelajari ini merupakan dakwah sepanjang zaman,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan