Rabu, 23 Januari 2013

ATM Jadikan Rafoc Mentor Bagi Tujuan Pemantapan Pasukan

KUALA LUMPUR, 23 Jan  -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjadikan Persatuan Pegawai-pegawai Bersara Angkatan Tentera (Rafoc) sebagai mentor bagi memantapkan perkhidmatan pasukan keselamatan itu di negara ini.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata Rafoc memainkan peranan penting berdasarkan pengalaman yang dimiliki mereka sebelum ini meskipun sudah tidak berkhidmat lagi.

"Pengalaman mereka dalam aspek keselamatan dan sebagainya semasa berkhidmat dahulu dilihat mampu dimanfaatkan anggota pasukan ATM sekarang dan di masa akan datang.

"Melalui perkongsian pengalaman, cadangan serta pendapat Rafoc, ia dilihat sebagai input dalam meningkatkan kemahiran dan kualiti perkhidmatan termasuk perkara berkaitan. Skop pandangan mereka juga mungkin lebih luas kerana mereka melihat dan memerhatikan perkembangan ATM dari luar," katanya selepas menghadiri forum Rafoc 'Sehari Bersama Pucuk Pimpinan ATM' dan pembentangan halatuju dan transformasi ATM di sini, pada Rabu.

Zulkifeli menyifatkan Rafoc sebagai persatuan yang tetap releven dan yakin Rafoc mampu menyalurkan cadangan bernas serta menyambut baik sebarang pandangan mahupun cadangan dari semasa ke semasa bagi kebaikan ATM sendiri.

Berkaitan fasa kedua Strategi Lautan Biru, Zulkifeli berkata rondaan keselamatan antara ATM, Polis DiRaja Malaysia dan penduduk akan diperluaskan ke 60 taman kediaman yang dikenal pasti.

"Sebelum ini rondaan melibatkan bandar-bandar utama negara tetapi berdasarkan impak positif yang kita terima, dijangka dalam pertengahan tahun ini kita akan laksanakan di 60 taman kediaman yang dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata bagi 'Program Pemulihan Pemasyarakatan', sebuah lagi pusat tahanan dan pemulihan banduan untuk pesalah ringan akan dibina di Sabah dalam masa terdekat ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan akan membina lima pusat tahanan dan pemulihan banduan di lima buah kem tentera yang telah dikenal pasti bernilai RM12.5 juta mulai tahun ini sebagai antara langkah di bawah Strategi Lautan Biru dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sementara itu, Presiden Rafoc Jeneral (B) Tan Sri Datuk Mohd Ghazali Mohd Seth berkata Rafoc sentiasa bersedia untuk memberikan sebarang pandangan atau pendapat dalam meningkatkan perkhidmatan ATM.

"Kita ingin memberikan khidmat dan kudrat kita bagi menolong ATM tidak kira dari aspek pasukan angkatan tentera, kebajikan pegawai-pegawai yang telah bersara mahupun terhadap negara. Rafoc juga sedang berusaha menambah keahlian yang ketika ini hanya seramai 500," katanya dan menambah usaha itu bagi memastikan suara Rafoc didengari dan lebih diyakini dengan keahlian yang lebih ramai.

Pada forum itu, Zulkifeli turut menyampaikan halatuju dan transformasi ATM pada ketika ini manakala Rafoc mengetengahkan isu perbincangan antaranya berkaitan layanan, kemudahan kesihatan, perubatan, perwarisan pencen dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan