Selasa, 29 Januari 2013

Mayat mangsa tebusan Algeria dikebumi

PORT DICKSON — Mayat mendiang Tan Ping Wee yang terkorban dalam krisis tebusan kumpulan militan di Algeria, selamat disemadikan di Fairy Park, Sendayan dekat sini hari ini.
Menurut seorang anggota keluarga mendiang yang tidak mahu namanya disiarkan, mayat mendiang Ping Wee tiba di rumahnya di No 6, Taman Bukit Samudra, Kampung Paya di sini pada 2 pagi ini.
Anggota keluarga, saudara-mara, jiran dan kenalan mula berkumpul di rumah mendiang sejak malam tadi dan suasana pilu menyelubungi mereka apabila kereta yang membawa mayat mendiang mula beredar ke Fairy Park untuk upacara pengkebumian pada 11 pagi ini.
Mendiang meninggalkan seorang isteri, Koh Siow Mun dan seorang anak lelaki berusia 16 tahun.
Mayat Ping Wee dan seorang lagi mangsa, Chong Chung Ngen tiba di kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 8.30 malam tadi setelah diterbangkan dari Algiers.
Dalam insiden 16 Januari lalu, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) In Amenas, timur Algeria menjadi tebusan kumpulan militan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan