SEREMBAN – Menteri Besar Negeri
Sembilan, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, memenuhi undangan Dato’
Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin, Penaung Yayasan As-Sofa di Majlis Ilmu
dan Sambutan Maulidurasul 1434H serta Majlis Pengkhataman Kitab
Al-Muwatta di Masjid Negeri Seremban, malam tadi.
“Sesungguhnya usaha mengimarahkan agama Islam yang merupakan tiang
agama ini tidak pernah berhenti pada hujung waktu, walaupun setelah
kewafatan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam, penghulu nabi Allah,”
katanya.
Majlis ilmu yang penuh barakah itu
menghimpunkan seramai 7,000 orang pelajar, ilmuan serta agensi kerajaan
dan swasta bermula dengan solat Maghrib berjemaah, disusuli dengan usrah
yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin bagi
memenuhi ruang waktu sementara menanti waktu Isyak.
“Hakikatnya, tidak cukup sekadar pujian,
usaha yang dilakukan oleh Yayasan As-Sofa melalui penaung, Dato’ Sheikh
Muhammad Fuad Kamaludin ini amat disanjung tinggi. Hasil usaha ini
telah memberikan ilmu pengetahuan yang amat baik buat generasi muda agar
mendalami ilmu agama dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.
“Cadangan mewujudkan Universiti As-Sofa
di atas tanah kurniaan DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,
Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan mewujudkan Fakulti
Kuliyyah Al-Azhar, yang mana tenaga pengajarnya didatangkan dari
Universiti Al-Azhar merupakan satu-satunya usaha dakwah yang akan
memberi faedah kepada umat Islam di negara ini,” tambah beliau.
Dalam ucapan ringkasnya, Menteri Besar NS mengucapkan tahniah di atas penganjuran majlis yang amat berjaya ini.
“Kewujudan Yayasan As-Sofa memang tepat
pada waktunya kerana Kerajaan Negeri melalui Dasar Pelajaran Negeri
serius dan fokus menginstitusikan pendidikan agama di negeri ini.”
Mohamad turut menyeru agar ilmu agama
yang dipelajari ini dapat dimanfaatkan dalam kehidupan kerana cabaran
dan dugaan dunia ada kalanya melalaikan.
“Setidak-tidaknya, apabila ilmu agama
sudah tertanam di dada, ia akan memberikan kesedaran buat kita. Malah,
ilmu agama yang dipelajari ini merupakan dakwah sepanjang zaman,”
ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan