KUALA LUMPUR - Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Kelantan
menuntut kerajaan Kelantan pimpinan Pas menunaikan janji untuk memberi
tanah kepada bekas tentera.
Yang Dipertua persatuan itu, Datuk Mohammad Abdul Ghani berkata,
janji yang berlarutan hampir setahun lalu menyebabkan sejumlah besar
bekas tentera di kalangan 14,000 anggota persatuan itu yang berasal dari
Kelantan terus menderita kerana masih belum memiliki rumah sendiri.
Pada April 2012, mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan meluluskan
pemberian tanah 0.8 hektar kepada setiap bekas tentera yang berasal dari
Kelantan dengan sebuah jawatankuasa khas dibentuk bagi menentukan
mereka layak menerima tanah sama ada untuk tapak rumah atau pertanian.
Keputusan itu dibuat kerajaan negeri bagi menghargai tugas mereka selama ini menjaga keamanan negara.
“Ia sepatutnya tidak berlaku kalau sudah berjanji. Perkara ini tidak
akan berlaku jika kerajaan negeri dipimpin Barisan Nasional (BN) yang
pastinya akan menunaikan janji itu.
“Kami berharap semua kerajaan negeri beri tanah kepada bekas tentera,
kerana ada negeri seperti Perak, Pahang dan Negeri Sembilan sudah
berbuat demikian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas mengenai segelintir bekas tentera yang
dikatakan menyokong pembangkang, Mohammad berkata, tindakan sedemikian
mungkin dilakukan kerana didapati bersalah semasa dalam perkhidmatan
atau merasa dipinggirkan.
“Seharusnya mereka ingat bahawa kemuncak kebajikan untuk bekas
tentera adalah di zaman ini. Kerajaan telah memberi penghargaan tinggi
kepada bekas tentera menerusi pelbagai insentif dan bantuan.
“Jangan tengok keburukan dan kelemahan kerajaan. Tengok apa yang kita
dapat, bersyukur dan teruskan usaha dalam apa juga bidang supaya negara
mencapai kemajuan menjelang tahun 2020,” katanya.
Sambil menyifatkan golongan tersebut sebagai “sangat kecil”, beliau
menasihatkan 300,000 bekas tentera supaya terus menyokong kerajaan dan
jangan mudah terpedaya dengan janji pembangkang. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan