Rabu, 23 Januari 2013
Lawatan PM Ke Gaza.. Dari Juara Rakyat Di Malaysia Ke Juara Umat Untuk Palestin
KUALA LUMPUR, 23 Jan – Lawatan Kemanusiaan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza semalam adalah bukti menunjukkan perpaduan dan sokongan teguh Malaysia dan rakyatnya terhadap perjuangan Palestin.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, Malaysia boleh menghantar bantuan kewangan dan kemanusiaan kepada rakyat Palestian, tetapi beliau melihat lawatan itu sebagai simbol sokongan berterusan yang amat kuat kepada Palestin.
“Hari ini kita bukan sahaja mempunyai juara rakyat bukan sahaja di Malaysia, malah kini kita mempunyai juara umat yang amat prihatin dengan kesusahan dan keperitan hidup rakyat di Palestin.
“Kita nak ucap tahniah juga kerana beliau menjadi Perdana Menteri yang pertama menjejakkan kaki ke bumi Palestin, ini tidak bermakna lima Perdana Menteri yang terdahulu tidak baik, tetapi kesemua mereka juga menjuarai perjuangan rakyat Palestin namun atas sebab-sebab keselamatan, mereka tidak berkesempatan untuk pergi,” ujarnya ketika ditemui selepas program lawatan ke peti-peti undi dalam Parlimen Segambut, sebentar tadi.
Dalam masa yang sama, Ahmad Maslan turut menyelar tindakan pemimpin pembangkang khususnya Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam Wall Street Journal yang menyebut beliau menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.
“Inilah perbezaan pemimpin BN dan pembangkang, inilah yang kita harapkan pemimpin akan terus menjuarai permasalahan umat di dunia Islam yang amat mencabar sekarang ini,” tambahnya.
Terdahulu, Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh berkata lawatan Najib adalah yang julung kali dilakukan oleh seorang perdana menteri asing yang bukan dari negara Arab, ke Gaza. Pada lawatan ke Gaza, Najib dianugerah Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Al-Aqsa atas sokongan yang diberi terhadap perjuangan Palestin.
Najib, dalam ucapan penerimaannya, berkata beliau berbesar hati menerima ijazah kehormat itu bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia.
Pada majlis itu isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor turut dianugerah Ijazah Doktor Kehormat oleh universiti berkenaan atas kerja-kerja kebajikan beliau.
Najib berkata komitmen Malaysia boleh dilihat daripada dana dan bekalan perubatan yang disumbangkan pada misi kemanusiaan tahun lepas, dan dalam semangat rakyat Malaysia yang datang membawa sumbangan itu.
HOT : BAGI DAP..ANWAR BERTARAF SEORANG ULAMA...
Tindakan Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan pendirian
bersama pakatan pembangkang berhubung isu penggunaan kalimah Allah yang
sekaligus dilihat menolak ketetapan oleh Majlis Syura Pas adalah tidak
wajar sama sekali.
Timbalan Rektor
Al-Madinah International Universiti Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata
ianya menyalahi etika dan amat-amat tidak wajar perkara itu berlaku
kerana keketatapan yang dibuat oleh Majlis Syura Pas adalah berdasarkan
pandangan majoriti.
Menurut beliau Anwar
sepatutnya perlu mengambil kira pandangan Majlis Syura Pas dan
sewajarnya ketetapan itu didahulukan memandangkan Majlis berkenaan
diwar-warkan dibarisi oleh golongan ulama dan cendekiawan Islam Pas.
“Dalam ilmu tafsir…..
pandangan terkini memansuhkan pandangan yang lama dan terdahulu. Justeru
bagi saya, sewajarnya pandangan terkini yang perlu diambil kira. Dan
ianya sama sekali amat-amat tidak wajar dan sekaligus menyalahi yang
sepatutnya,“ tegas beliau kepada UMNO-Online di sini.
Kata beliau Anwar boleh
jatuh dan boleh dikategorikan dalam situasi menghina kredibiliti ulama
Pas yang membarisi Majlis Syura parti berkenaan.
“Ini satu perkara yang
besar. Kepakaran Anwar adalah dalam politik… dan kepakaran dalam agama
adalah orang yang selayaknya. Jadi sama-samalah kita bermuhasabah,“
katanya.
Kontroversi berhubung
penggunaan kalimah Allah di kalangan pembangkang dilihat belum selesai
apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pendirian bersama
pakatan pembangkang sebelum ini agar kalimah berkenaan boleh digunakan
oleh bukan Islam.
Menurut Ketua
Pembangkang seperti yang dilaporan Mstar, Pakatan Rakyat kekal dengan
pendirian mereka sebelum ini walaupun Majlis Syura Ulama Pas membuat
ketetapan bertentangan apabila melarang penggunaanya oleh bukan Islam.
“Setakat ini, inilah
pendirian Pakatan Rakyat berdasarkan kenyataan yang dibentangkan
(Presiden Pas), Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat Majlis
Pimpinan Pakatan Rakyat yang lalu,” katanya pada sidang media di Ibu
Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Rabu. -MediaUMNO
Ketua Dewan Pemuda PAS & Kejantanan Jadi-Jadian
Membaca kenyataan terbaru Nasrudin Hassan yang keras membidas Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung tuntutannya supaya PAS mengkaji semula keputusan Majlis Syura dalam isu kalimah Allah s.w.t tentunya ada yang terfikir betapa jantannya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu.
"Saya bersama Pemuda Pas tetap dengan keputusan Majlis Syura Ulama yang diputuskan sebulat suara. Karpal Singh usah campur," tegas Nasrudin kepada Utusan Malaysia.
Dengan penegasan itu bermakna Dewan Pemuda PAS sebulat suara setekad hati untuk menjunjung keputusan rasmi Majlis Syura Ulama PAS yang bemesyuarat pada 13 Januari 2013 untuk menghalang penggunaan kalimah Allah s.w.t dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.
Sepintas lalu dibaca berkemungkinan ramai penyokong PAS yang melihat dunia dari bawah tempurung akan meremang bulu roma bersemangat meluap-luap dalam jiwa. Mungkin ada yang terdetik dalam fikiran menyanjung keberanian Ketua Dewan Pemuda PAS itu menyanggah teguran 'lembut' dari Karpal Singh.
Itu satu kebiasaan dalam PAS dan sudah menjadi tabie penyokongnya mudah lupa perkara lama kerana jarang sangat dikalangan orang PAS yang berfikir guna akal sendiri sebaliknya lebih kerap menerima buta tuli saja segala yang keluar dari mulut pemimpin mereka.
Tapi bila ia dibaca oleh khalayak yang luas pemikirannya boleh jadi tersembur muntah keluar segala isi perut. Mana tidaknya kalau dah kenyataan oleh Nasrudin pada 21 Januari 2013 itu jelas bercanggah benar dengan pendiriannya yang dinyatakan dua minggu lalu.
Dalam kenyataan pada 10 Januari 2013 itu, Nasrudin secara terbuka menyokong ketetapan rasmi PAS yang dipersetujui melalui Presidennya, Abdul Hadi Awang untuk membenarkan orang Kristian mencetak kalimah Allah s.w.t ke dalam kitab Bible.
"Rasanya tidak perlu saya mengulas perkara itu kerana Presiden sendiri telah mengeluarkan kenyataan rasmi. Kenyataan itu sudah menjadi pendirian parti dan kami Pemuda Pas menyokong pendirian tersebut," itu kata Nasrudin dua minggu lepas.
Maksudnya, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu beriktikad sepenuh hatinya dengan keputusan Hadi Awang untuk membenarkan kesucian kalimah Allah s.w.t dinodai oleh pendakyah Kristian sebagaimana dituntut oleh DAP.
Disebabkan keputusan yang dipersetujui oleh Presiden PAS itu dan disokong pula oleh nasrudin selaku Ketua Dewan Pemuda PAS, maka berbondong-bondonglah pengikut parti itu mengelurkan hujah untuk menyokong ketetapan yang diambil.
Semuanya dilakukan kerana Presiden, Mursyidul Am dan Ketua Dewan Pemuda PAS seia sekata yang orang Kristian boleh guna kalimah Allah hatta sekalipun untuk dicetak dalam Bible versi Bahasa Melayu yang tujuan tersiratnya untuk memesongkan akidah umat Islam.
Persoalan sekarang kenapa kini Nasrudin berubah? Apa jenis jantannya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ini kalau dah sikap dan pendiriannya berubah-ubah dan tidak tetap?
Jika Nasrudin boleh berubah pendirian hanya kerana atas dasar wala' dan taat buta tuli pada keputusan pemimpin dan parti sedangkan sudah terbukti parti yang didukungnya memanjang saja flip flop, tak mustahil selepas ini PAS sekali lagi menukar pendirian dalam isu kalimah Allah, Nasrudin juga akan u-turn sama.
Lagi penting untuk dijelaskan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS paling lemah kepimpinannya dalam sejarah parti itu ialah, sejauh mana beliau sanggup membuktikan kejantanannya dalam mendaulatkan keputusan Majlis Syura Ulama PAS supaya ia menjadi dasar rasmi PR?
Sekarang PR bergerak hasil gabungan bersama DAP, PKR dan PAS, mana mungkin PAS kekal dengan pendirian baru yang bercanggah dengan ketetapan rasmi PR?
Seandainya PAS terus kekal bersama PR itu maksudnya PAS telah redha dengan dasar rasmi PR dalam isu kalimah Allah, jika demikian tiada gunanya kejantanan jadi-jadian yang dipersembahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, betul tak?
PKR Bimbang, PAS Hilang Undi
KUALA LUMPUR, 23 Jan — Terdapat kebimbangan dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR), PAS berisiko kehilangan undi bukan Islam pada Pilihan Raya 2013 kerana sekatan parti Islam itu dalam isu kalimah “Allah” dan dasar pengasingan jantina di Kedah dan Kelantan.
Beberapa pemimpin PR dan penggubal undang-undang mengakui kontroversi tersebut menjejaskan imej pakatan pembangkang itu menjelang pilihan raya pada Jun ini tetapi berharap dialog dan kebijaksanaan akan menumpulkan pengaruh konservatif dalam dasar PAS.
Hujung minggu lalu Pengerusi DAP Karpal Singh meminta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berjumpa dengan badan pembuat dasar parti tersebut, Majlis Syura, untuk mengubah keputusan perkataan Arab “Allah” tidak boleh diterjemahkan ke dalam atau diterjemahkan dari bahasa lain kerana ia khusus digunakan oleh umat Islam sebagai rujukan kepada Tuhan.
“Keputusan Majlis tersebut baru-baru ini perkataan ‘Allah’ tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam bercanggah dengan pendirian yang diambil oleh kepimpinan parti komponen Pakatan Rakyat,” kata Karpal sambil menambah ia akan menjejaskan saudara Sikhnya kerana perkataan tersebut terdapat dalam kitab suci mereka, Guru Granth Sahib.
Sambil menegaskan pilihan raya semakin hampir, ahli parlimen Bukit Gelugor itu berkata kerajaan Kedah pimpinan PAS perlu berhenti “mencipta masalah” dengan mengeluarkan garis panduan mengenai kod pakaian wanita seperti yang berlaku baru-baru ini untuk Sambutan Tahun Baru Cina di negeri tersebut.
Garis panduan tersebut telah pun diubahsuai untuk acara-acara kebudayaan tetapi mencetuskan reaksi di kalangan penduduk bukan Melayu dan telah menjadi satu isu kempen Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Serdang DAP Teo Nie Ching telah mengecam PAS Kedah diatas garis panduan Tahun Baru Cina negeri tersebut dengan mengatakan dasar itu akan mensabotaj persiapan pilihan raya PR dan menyebabkan kehilangan sokongan kaum Cina.
Seorang pemimpin PAS yang tidak mahu dinamakan mengakui pendirian konservatif parti akan menjejaskan sokongan daripada pengundi bukan Islam.
“Terdapat kesan dan kita perlu kurangkan,” katanya, sambil menambah
golongan konservatif adalah puncanya kerana mereka menguasai kepimpinan tertinggi parti.
Pemimpin DAP dan PKR lain berwaspada tentang isu Allah dan ketetapan PAS yang telah menjejaskan bukan Islam di Kedah dan Kelantan.
Ahli Parlimen Bukit Bendera DAP Liew Chin Tong berkata sudah menjadi pengetahuan umum partinya dan PAS berpecah mengenai isu-isu tersebut walaupun beliau tidak bercakap tentang kesan daripada dasar PAS.
Penduduk Gantung Motosikal, Ajar Penyamun
KUALA TERENGGANU: Geram gagal menahan dua lelaki yang disyaki mencuri pisang di kebun penduduk Kampung Kesom Che Nordin, Manir, di sini, beberapa penduduk bertindak menggantung motosikal suspek bersama pisang yang dicuri di sebatang tiang telefon di kampung berkenaan, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, dua penduduk terserempak dengan suspek sedang mencuri pisang di kebun berkenaan, tetapi dua lelaki itu melepaskan diri meninggalkan pisang serta motosikal mereka.
Penduduk kampung yang berang menggantung motosikal dipercayai milik seorang suspek bersama pisang dicuri pada tiang telefon yang terletak 500 meter dari kebun berkenaan. Seorang penduduk Mohd Saudi Deraman, 39, berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kebun jirannya diceroboh, dia bersama seorang rakan ke kawasan itu dan nampak dua lelaki berusia 30-an sedang memotong pisang.
“Dua lelaki itu terkejut dengan kehadiran kami melarikan diri. Bimbangkan keselamatan kerana mereka ada pisau, kami tidak mengejar mereka.
"Bagaimanapun, mereka tidak sempat membawa bersama motosikal dipercayai milik salah seorang daripada mereka dan 10 tandan pisang yang cuba dicuri," katanya.
Katanya, lima lagi penduduk kampung tiba untuk membantu, tetapi mereka terlewat.
"Kami membuat keputusan membawa motosikal ke tepi jalan utama kampung dan menggantungnya pada tiang telefon sebagai pengajaran kepada suspek atau mereka yang mempunyai niat jahat di kampung ini.
"Kami biarkan motosikal itu pada tiang bersama pisang yang dicuri sehingga polis datang," katanya yang memberitahu membuat laporan di Balai Polis Manir, di sini, pada jam 1.30 tangah hari semalam.
Sementara itu, pemilik kebun yang dicereboh, Mamat Dollah, 64, berkata, dia berada di warung berhampuran rumah apabila seorang rakan datang memberitahu kebunnya dimasuki pencuri.
"Saya tidak mampu ke kebun yang terletak 500 meter dari rumah kerana sakit kaki dan meminta Mohd Saudi pergi ke kebun untuk melihat apa yang berlaku.
"30 minit kemudian saya lihat penduduk membawa pulang membawa sebuah motosikal Honda EX5 bersama dua guni pisang sebelum menggantung kenderaan berkenaan pada tiang telefon," katanya.
Penetapan untuk gaji maksimum diumum Feb
PUTRAJAYA – Kerajaan dijangka mengumumkan penetapan gaji dua hingga lima peratus bagi penjawat awam yang sudah mencapai tahap gaji maksimum atau ‘gaji mati’ pada Februari ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat kajian teliti bagi menangani masalah penjawat awam yang berprestasi baik dan cemerlang dengan markah 80 peratus ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) mereka tetapi sudah mencapai gaji maksimum dan tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan.
"Saya tidak mahu melihat penjawat awam yang menjalankan tugas dengan cemerlang tetapi mendapat gaji statik. Ini yang saya mahu atasi.
“JPA sedang memuktamadkan senarai yang ada. Mereka sedang meneliti rekod perkhidmatan. Selalunya akan ada kenaikan biasa gaji, tetapi dalam kes ini kita mahu selesaikan kes mereka yang sudah mencapai tahap statik.
“Kami perlu berbincang dengan Perbendaharaan mengenai implikasi kewangan. Kerajaan amat positif mengenainya. Mereka faham gaji statik bukannya jawapan kepada penjawat awam yang berprestasi cemerlang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum itu, Ali menyampaikan Amanat 2013 kepada kira-kira 4,000 penjawat awam pelbagai kementerian dan jabatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Majlis yang dilaksanakan menerusi ‘live-streaming’ itu turut boleh disaksikan penjawat awam di seluruh negara. – BERNAMA
PANAS WOO - GAMBAR2 DEMO BANTAH KARPAL OLEH PEMUDA PAS PENANG. Hahaha, Padan Muka.
Sekumpulan ahli Pas hari ini mengadakan demonstrasi membantah tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meminta parti itu mengkaji semula penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Kumpulan yang diketuai bekas Ketua Pemuda Pas negeri, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin itu berarak kira-kira 100 meter bermula di hadapan Dewan Sri Pinang menuju ke firma guaman Karpal di Jalan Green Hall dekat sini.
Mohamed Hafiz berkata, kenyataan Karpal yang mahukan Majlis Syura Ulama Pas mengkaji semula pendirian itu merupakan tindakan biadab serta cuba mencampuri urusan agama Islam.
Perjuanganku Lebih Mudah Kerana Mengusir Penjajah, Tetapi Perjuanganmu Lebih Sulit Kerana Melawan Bangsamu Sendiri.
DAP diminta segera serah penyata tahunan kepada ROS
PUTRAJAYA— DAP mempunyai 20 hari lagi untuk mengemukakan penyata tahunan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selepas mengadakan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada 12 Dis lepas bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wujud penyelewengan dalam pemilihan itu.
Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman berkata mengikut Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966, sesebuah pertubuhan berdaftar termasuk parti-parti politik perlu mengadakan mesyuarat agung dan mengemukakan penyata tahunan yang juga mengandungi penyata kewangan dan senarai anggota jawatankuasanya dalam tempoh 60 hari selepas mesyuarat itu.
“Hari ini hari ke-40, ibu pejabat DAP belum kemukakan (penyata tahunan). Jadi kita tak boleh cakap banyak selagi tidak dapat penyata tahunan ini kerana kita hanya tahu soal pemilihan ini dari akhbar sahaja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada 12 Dis lepas, DAP mengadakan pemilihan CEC dan mengumumkan keputusannya tiga hari selepas itu.
Bagaimanapun mereka kemudiannya mengakui berlaku beberapa kesilapan dalam pengiraan undi semasa pemilihan itu dan membuat pembetulan.
Abdul Rahman berkata sehingga kini pihaknya menerima lima aduan mendakwa berlaku penyelewengan dengan dua aduan dibuat di Seremban dan tiga lagi di Putrajaya.
Bagaimanapun, katanya, ROS akan menentukan kedudukan mereka yang mengemukakan aduan itu sama ada mereka benar-benar anggota DAP atau tidak kerana menurut Seksyen 18 (C) Akta Pertubuhan 1966 hanya anggota-anggota pertubuhan sahaja yang berhak membuat aduan.
Sehubungan itu, beliau berkata mereka yang membuat aduan diminta datang ke pejabat ROS minggu ini dan mengemukakan bukti berkenaan, sebelum aduan itu disiasat.
“Memorandum yang dihantar itu pun hanya beritahu ada manipulasi. Jadi kita rayu pada mereka, (kalau) ada maklumat yang mereka katakan ada (penyelewengan), datanglah. Kalau tak datang tak boleh nak buat apa-apa,” katanya.
Katanya ROS juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pemimpin-pemimpin tertinggi DAP untuk membantu siasatan.
Musa Hasan kata pemimpin pembangkang tak berkualiti
SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan pembangkang di negara ini barisan pemimpin tidak berkualiti.
Menurutnya, ini berikutan sikap pembangkang sendiri yang sering menyalahkan kerajaan tetapi tidak menampilkan idea yang bernas untuk membangunkan negara.
PENGUNDI DI PARLIMEN SEPUTEH
BERITA BAIK UNTUK
@Razlanrafii
Ketua Pemuda UMNO Seputeh Sdr. @razlanrafii
Hari ini Pemuda UMNO Bahagian Seputeh, yang diketuai oleh saudara @razlanrafii telah mengumumkan pembukaan permohonan lesen B2 di pejabat UMNO Bahagian. Permohonan ini adalah susulan daripada pelancaran Bantuan Lesen 1 Malaysia (BL1M) yang dirasmikan oleh YB Khairy Jamaluddin baru - baru ini. Harga untuk mendapat lesen B2 ini adalah RM 199 sahaja.
Untuk mereka yang berminat sila hubungi PSUP UMNO Bahagian Seputeh saudara Along di 011 - 28810839 . Syarat - syarat permohonan juga boleh ditanya kepada Saudara Along. Terima Kasih.
Selangor Tipu Ibu Tunggal
Keputusan Mahkamah
Tinggi Shah Alam pada Rabu menolak permohonan kerajaan Selangor dan Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengetepikan saman yang difailkan 2,020 ibu tunggal di negeri itu.
Saman itu adalah berhubung kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji memberi elaun kepada semua ibu tunggal di Selangor seperti yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum 2008.
Hakim Datuk Yaacob Md Sam memutuskan perkara itu selepas mendapati plaintif mempunyai asas untuk membuat tuntutan itu.
Pada 22 November tahun lalu, seramai 2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan tuntutan bagi menuntut tunggakan berjumlah RM10.9 juta.
Mereka menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sebagai defendan pertama dan Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.
Dalam saman itu, kesemua plaintif mendakwa mereka menjadi mangsa diskriminasi kerajaan negeri apabila ia gagal menunaikan janji untuk membayar elaun ibu tunggal sejak menubuhkan kerajaan Mac 2008.-23/1/2013
Twitter Dato Seri NajibRazak Paling Popular
DAVOS (Switzerland):
Mesej Twitter oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah yang paling banyak ditulis ulang atau 'retweet' selama kira-kira lima jam bermula 10 pagi Selasa.
Kedudukan itu dipaparkan pada skrin besar di Kongress Zentrum Building iaitu lokasi Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi (WEF) 2013 yang akan berlangsung selama lima hari mulai 23 Januari.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berada jauh di hadapan, meninggalkan Pengarang Sant Jordi Asociados, Paolo Coelho, Perdana Menteri Itali Mario Monti, kolumnis The New York Times Nicholas D Kristof dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Right Start Foundation International, Amr Khaled.
Mereka merupakan peserta forum berkenaan dan aktiviti Twitter mereka dipantau oleh WEF.
'Retweet' yang aktif oleh pengikut twitter Najib itu dipercayai kerana perdana menteri kini berada di Gaza, Palestin.
Najib berkata beliau menurut kata hatinya untuk melawat ke Gaza supaya dapat berada bersama-sama rakyat Palestin.
Perdana menteri dijadual tiba di Bandaraya Davos, dengan keadaan cuaca yang amat jauh berbeza berbanding Gaza, pada 24 Januari
Banduan lolos ditemui sembunyi dalam semak
KUANTAN – Seorang banduan yang dipercayai meloloskan diri dari kawalan pihak penjara ketika mencuci tasik dalam kawasan Penjara Penor, di sini petang tadi, berjaya diberkas semula, malam tadi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, banduan terbabit ditemui pegawai dan anggota penjara sedang bersembunyi di kawasan semak berdekatan Madrasah Minaratil Ilmi dalam kawasan penjara itu pada pukul 9.15 malam.
“Suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam khidmat pesanan ringkas kepada Bernama di sini.
Banduan terbabit, Mohd Norhafiza Mat Sudin, 26, berasal dari Felda Tenang, Besut, Terengganu sedang menjalani hukuman selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 2(2)(3)/15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mohd Norhafiza dijatuhi hukuman penjara mulai 15 September lepas dan tarikh bebas ialah pada 6 Disember 2013.
Banduan berkenaan melarikan diri dalam kawalan anggota penjara kira-kira jam 1.15 tengah hari.
Jati Gesa KDN Bertindak Tegas Dalam Isu Kalimah Allah
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa juga yang terlibat dalam pengeluaran Bible berbahasa Melayu dan menggunakan kalimah Allah demi menjaga kerukunan hidup rakyat berbilang bangsa di Malaysia.
Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata tindakan itu termasuk menarik balik lesen percetakan pihak terbabit selain melakukan pemantauan yang menyeluruh bagi mengekang penyebaran buku tersebut.
“Saya mendapati dua buku yang bertajuk ‘Perjanjian Baru Edisi Merdeka ke 50′ cetakan pada tahun 2007 dan ‘Kitab Suci Zabur dan Injil’ cetakan pada tahun 2008 mengandungi banyak bahasa dan kalimah Allah yang diulang-ulang…pencetakan buku ini terus berlaku,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini Selasa.
Turut hadir Timbalan Presiden Jati, Datuk Aidit Ghazali dan Presiden Pertubuhan Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad.
Menurutnya dalam konteks ketenteraman awam, Jati berpandangan KDN tidak perlu menunggu sehingga wujudnya tanda-tanda gangguan namun lebih menekankan kepada darjah sensitiviti isu kalimah Allah kerana lebih 60 peratus rakyat Malaysia berbangsa Melayu beragama Islam
Pakatan Rakyat pertahan kemuliaan & kebebasan anggota tentera – Anwar
Pakatan Rakyat menghargai peranan dan sumbangan anggota keselamatan negara yang pernah dan sedang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Peranan ini hanya boleh dilaksanakan dengan berkesan sekiranya kebebasan, kedudukan, kebajikan dan kemuliaan ATM dipertahankan sepenuhnya.
Justeru, saya membantah tindakan Datuk Seri Najib Razak dan penipuan politik untuk perolehan ATM.
Soal persenjataan negara yang melibatkan dasar pertahanan strategik dan taktikal adalah kepakaran kepimpinan ATM yang amanahnya perlu dipikul oleh mereka.
Skandal-skandal yang membabitkan pembelian persenjataan dan kelengkapan yang mahal dan melibatkan rasuah sebenarnya mengkhianati pengorbanan dan perkhidmatan anggota keselamatan.
Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat meluluskan satu pembayaran komisen yang mahal kepada orang kanannya sendiri dalam pembelian kapal selam Scorpene, tindakan beliau itu mengkhianati kebajikan dan kedudukan pasukan keselamatan negara.
Pertamanya, apabila peruntukan yang sepatutnya dibelanjakan dengan berhemah bagi keperluan dan kebajikan anggota tentera (baik persenjataan, kelengkapan, perumahan dan pendidikan) dihabiskan sebagai habuan rasuah, ini menyebabkan ATM tidak dapat berbelanja bagi keperluan-keperluan yang lebih mendesak kerana kekurangan peruntukan.
Keduanya, cemuhan rakyat terhadap perlakuan rasuah yang bersabit dengan pembelian persenjataan turut terpalit kepada ATM yang mencalarkan imej ATM, walaupun skandal itu tidak ada kena mengena dengan anggota keselamatan.
Sebab itu, saya bertegas bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh bertolak ansur mengenai rasuah dan amalan kronisme dalam pembelian persenjataan negara.
Keputusan dan penilaian kewajaran pembelian persenjataan perlu diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan ATM mengikut tata kelola pentadbiran kerajaan persekutuan yang berteraskan ketelusan dan amanah kepada rakyat. Saya yakin prinsip ini akan menjimatkan berbilion wang rakyat yang kemudiannya boleh diperuntukkan untuk membela kebajikan dan kemajuan anggota tentera.
Berbekalkan peruntukan yang meningkat apabila kita berjaya membanteras amalan rasuah dan kronisme, saya telah meneliti dan mencadangkan perkara-perkara berikut sebagai langkah membela kebajikan anggota-anggota tentera:
1. Pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu dirombak semula dengan perwakilan dari kalangan anggota tentera yang lebih adil dan bebas mewakili anggota terbanyak. Keuntungan dan perolehan LTAT wajarlah diagihkan dengan leih adil kepada anggota terbanyak, termasuk melalui peruntukan skim mikrokredit khas anggota tentera untuk memastikan mereka mendapat perhatian selepas meninggalkan perkhidmatan;
2. Kerajaan Pakatan Rakyat wajar meningkatkan jumlah caruman yang disumbangkan oleh kerajaan di dalam LTAT kepada 20% daripada gaji setiap bulan (berbanding 15% sekarang). Peningkatan 5% caruman ini perlu diuruskan secara berasingan di dalam dana LTAT dan dikhususkan kepada program-program imbuhan yang berbentuk bantuan bulanan kepada bekas anggota tentera (yang berpencen dan tidak berpencen);
3. Kerajaan Pakatan Rakyat wajar memperkenalkan Dividen Khas kepada bekas anggota tentera tidak berpencen bergantung kepada keuntungan LTAT setiap tahun dan caruman tambahan 5% yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan. Dividen Khas ini bagi membantu anggota keselamatan yang tidak mempunyai pencen berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang meruncing;
4. Kerajaan Pakatan Rakyat akan memastikan paras pencen adalah setara dengan dasar gaji minima RM1,100 yang diangkat oleh Pakatan Rakyat akan dilakukan, supaya tidak ada bekas anggota keselamatan yang tercicir dari pelarasan pencen seperti yang sering berlaku sekarang.
Saya yakin pendekatan berganda membanteras rasuah dan menggunakan peruntukan yang diselamatkan untuk membela kebajikan anggota tentera akan berjaya mempertahankan kemuliaan ATM di mata rakyat.
Kemuliaan dan kedudukan anggota tentera di mata rakyat adalah sangat penting kerana mereka adalah benteng pertahanan negara. Di bawah Pakatan Rakyat, saya yakin ATM akan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Anwar Ibrahim
Ketua Umum KEADILAN
Suratan atau kebetulan
Suratan atau Kebetulan. Skandal 'Wawa', Bank Islam dan Khalid Ibrahim.
mymassavoice | 11:45 PG |
Ini gambar Wawa Zainal, sekadar hiasan. Tiada kaitan dengan 'Wawa' PKR.
Semalam dilaporkan Bank Islam (BIMB) membuat laporan polis terhadap bekas kakitangannya, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.
Bank Islam membuat laporan polis terhadap ketua ekonomisnya Azrul Azwar Ahmad Tajudin atas dakwaan memiliki dan mengedar dokumen sulit syarikat tanpa kebenaran.
Laporan oleh ketua jabatan sumber manusia Bank Islam, Jamilah Abdul Sallam itu mendakwa dokumen itu melibatkan satu cadangan korporat melibatkan bank tersebut.
"Encik Azrul yang tidak mempunyai akses dan autoriti terhadap dokumen tersebut telah menyerahkan dokumen tersebut kepada pihak ketiga yang tidak berkaitan tanpa mendapatkan kelulusan atau kebenaran," dakwa Jamilah.
Dalam laporan bertarikh 18 Januari itu, beliau juga mendakwa Azrul menyalin dokumen "sulit dan sensitif" terbabit dan menghantarnya melalui emel kepada pihak terbabit.
Langgan:
Catatan (Atom)














