Isnin, 2 Mei 2016

#PRNSARAWAK : Dakwaan pembangkang Sarawak dipinggir adalah fitnah


KUCHING: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sebanyak RM1.3 bilion daripada jumlah peruntukannya, RM5.4 bilion pada tahun ini kepada Sarawak.

Malah menurut Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada RM300 juta yang diperuntukkan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) di seluruh negara, sebanyak RM88 juta adalah diagihkan untuk Sarawak.

“Peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk Sarawak sebenarnya adalah besar. Kalau pembangkang kata kerajaan persekutuan meminggirkan Sarawak, itu merupakan satu fitnah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kelab Wawasan Anak Muda Perintis Intelektual Se-Malaysia (WARIS) dan Ramah Mesra Persatuan Bekas Kakitangan KEMAS Malaysia (PBAKM) di Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam.

Justeru, Ismail menyeru rakyat negeri ini terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini.

Dengan itu, katanya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan dapat terus bekerjasama bagi meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan persekutuan di negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan