Perdana Menteri berkata, masa depan pengundi adalah lebih bernilai berbanding dengan wang ringgit yang cuba disogokkan oleh pihak-pihak tertentu yang mahukan undi mereka.
Mereka perlu mengutamakan masa depan mereka semasa pilihan raya ini dan bukannya menggunakan hak mereka untuk mendapat duit secara cepat.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Rumah Panjang Jegai Anak Jawa, Kampung Purai, sebuah perkampungan masyarakat Iban di Undop, kira-kira 40km, dari sini, Selasa.
Sebelum itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, mendakwa telah menerima maklumat ada cubaan pihak tertentu untuk menyogok pengundi di kawasannya agar tidak mengundi BN.
Beliau mendakwa pengundi khususnya di kawasan kaum Iban telah ditawarkan RM100 setiap seorang untuk berbuat demikian dan akan ditambah RM200 lagi selepas pilihan raya ini.
Sementara itu, Najib berkata, beliau yakin pengundi Iban di DUN Simanggang bijak membuat pilihan mereka dan tidak mudah terjebak dengan tawaran sedemikian.