Rabu, 12 Mac 2014

58 agensi berita asing, 36 tempatan buat liputan

SEPANG - Sebanyak 94 organisasi dan agensi berita tempatan dan luar negara berkampung di Hotel Sama-Sama di sini bagi membuat liputan operasi mencari dan menyelamat penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang Sabtu lepas.
Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu 36 terdiri daripada organisasi tempatan dan bakinya 58 agensi berita asing dari seantero dunia, berada di sini sejak Sabtu lepas.
"Pusat media dibuka di hotel ini selama 24 jam sejak hari tersebut dan menyediakan pelbagai kemudahan kepada pemberita termasuk bilik sidang media yang teratur, internet, makanan dan minuman.
"Kira-kira 250 pengamal media termasuk wartawan, jurugambar dan kru teknikal berada di hotel ini setiap hari bagi mendapatkan bahan berita dan jumlah ini dijangka bertambah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ibrahim berkata, sidang media diadakan secara teratur dan profesional dengan wartawan tempatan dan luar negara diberikan peluang sama untuk mengemuka soalan.
Media antarabangsa termasuk CNN, BBC, Reuters, Associated Press (AP), Agence France-Presse (AFP), Al-Jazeera serta organisasi media dari Jepun, China, Vietnam, Filipina, Indonesia dan Singapura.
"Semua media sama ada tempatan mahupun asing memberikan kerjasama yang begitu baik dan menjalankan tugas mereka dengan profesional," katanya.
Pesawat MAS Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan