KUALA LUMPUR - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas)
memaklumkan berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan
air rendah di beberapa kawasan di Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak
berikutan berlakunya henti tugas tidak berjadual di Rumah Pam Wangsa
Maju.
Menurut Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awamnya, Priscilla Alfred, berikutan masalah itu kolam-kolam simpanan air utama Syabas di beberapa kawasan yang terlibat mengalami penurunan paras air yang kritikal dan menjejaskan bekalan air kepada pengguna.
Katanya, penurunan paras kolam air yang berlaku adalah disebabkan berlakunya kejadian henti tugas tidak berjadual di rumah pam Wangsa Maju yang dikesan berlaku pada sekitar jam 4 petang kelmarin,
"Punca kejadian disebabkan rumah pam tersebut mengalami masalah pada sistem bekalan elektrik utama walaupun kesemua pam beroperasi dalam keadaan baik. Pada masa ini, pihak Syabas dan kontraktor yang dilantik sedang berusaha mengambil tindakan segera untuk membaikinya bagi membolehkan pam dapat beroperasi seperti biasa.
"Bagaimanapun, tempoh pembaikan bagi kerja-kerja ini masih belum dapat dipastikan pada masa kenyataan ini disiarkan," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Priscilla berkata, disebabkan kejadian tersebut, pihak Syabas telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau bagi Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak pada jam 8 pagi semalam, apabila dianggarkan sejumlah 91,963 akaun pengguna di kawasan terbabit terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual termasuklah tekanan air rendah.
"Pada masa ini, Syabas menyediakan sebanyak 42 lori tangki dan 525 tangki statik diletakkan dalam keadaan tunggu sedia untuk membantu membekalkan air ke kawasan-kawasan yang terlibat.
"Pihak Syabas mengharapkan agar para pengguna dapat memahami keadaan ini dan menggunakan air sebaik-baik mungkin dan dengan cara yang paling berhemah bagi mengelakkan sebarang pembaziran dari berlaku," katanya.
Bagaimanapun kata beliau, pihak Syabas akan memantau keadaan ini secara berterusan dan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa.
http://www.sinarharian.com.my/