Isnin, 4 Februari 2013

Bukan untuk dijual

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berhasrat menjual 30 pesawat helikopter Nuri jenis Sikorsy buatan Amerika Syarikat, yang berkhidmat lebih 50 tahun dalam Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).
Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, sebaliknya lebih ekonomi dan praktikal pesawat itu dibaik pulih untuk membantu helikopter EC725 Cougar baru dibeli kerajaan.

Malah, beliau yakin ATM masih memerlukan pesawat Nuri terutama dalam tugas utiliti dan misi bantuan biarpun negara akan memiliki 12 helikopter EC725 Cougar buatan Perancis awal tahun depan.
ATM menerima dua daripada 12 helikopter EC725 Cougar pada 3 Disember tahun lalu untuk menggantikan sebahagian 30 pesawat Nuri TUDM dan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, berperanan sebagai pesawat latihan selain mempunyai fungsi utama iaitu bagi memperkuatkan misi mencari dan menyelamat dan juga sebagai pesawat pengangkut serta utiliti lain.

“Kami akan menambah baik dan menaik taraf pesawat Nuri kerana ia masih baik dan boleh digunakan untuk misi bantuan, kita perlu menambah baik dari segi sistem dan bahagian kokpit serta beberapa bahagian lain,” katanya, di sini.

Beliau berkata, penambahbaikan yang akan dijalankan terhadap pesawat Nuri dijangka mampu memantapkan penugasan utiliti selain dapat membantu pesawat EC725 Cougar.
“Ada sebahagian daripada Nuri, akan tempatkan untuk kegunaan tentera darat,” katanya.

Zulkifeli berkata pada masa sama pemilikan pesawat EC725 Cougar baru dimiliki ATM baru-baru ini bertujuan meningkatkan keberkesanan tugas pemantauan ruang udara selain turut berperanan dalam misi bantuan lebih cekap.
Bagi meningkatkan tahap keselamatan ruang udara negara, ATM turut meneliti bagi mendapatkan beberapa pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) serta pesawat Airbus 400M yang bergantung kepada kemampuan kewangan negara.

“Buat masa ini ATM meneliti keupayaan empat MRCA yang berpotensi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antaranya Gripen dari syarikat Sweden, F/A-18E Super Hornet dari syarikat Amerika Syarikat, Rafale dari Syarikat Daesu dan Eurofighter Typhoon dari Britain,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan