- Lebih 50 penduduk termasuk penyokong Pas yang tidak puas hati dengan
kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, hari ini mengadakan
demonstrasi membantah cadangan pemimpin itu, yang mahu penggunaan
kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu dibenarkan.
Selain membawa sepanduk mengecam Guan Eng penduduk Kampung Padang Enggang itu turut memijak bendera DAP kerana isu berkenaan.
Ketua kumpulan penduduk itu, Mohd Rosli Ghazali, 52, kemudian mendesak
Pas keluar daripada gabungan parti pembangkang sekiranya parti itu lebih
sayangkan Islam.
"Atas nama Islam, Pas perlu keluar daripada Pakatan Rakyat. Jangan bersekongkol lagi dengan DAP yang jelas memusuhi Islam.
"Kami ingin bertanya kepada Lim Guan Eng, tujuan apakah kamu mahu
menggunakan kalimah Allah ini? Tahukah kamu kerana isu ini boleh
menyebabkan keadaan menjadi huru hara dan tidak tenteram," katanya.
Mohd. Rosli juga meminta semua pihak agar menerima keputusan Majlis
Syura Ulama Pas yang tidak membenarkan kalimah itu digunakan oleh bukan
Islam.
Isu kalimah Allah itu timbul apabila Lim mendesak kerajaan agar
membenarkan kalimah itu digunakan dalam Bible versi berkenaan dan pada
satu ketika gabungan pembangkang turut bersetuju agar kalimah itu
digunakan oleh bukan Islam.
Bagaimanapun, selepas dikritik hebat, Majlis Syura Ulama Pas kemudiannya
mengeluarkan ketetapan agar kalimah Allah tidak dibenar digunakan oleh
bukan Islam bagi mengelak kekeliruan. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan