KUALA LUMPUR, 23 Jan -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan
menjadikan Persatuan Pegawai-pegawai Bersara Angkatan Tentera (Rafoc)
sebagai mentor bagi memantapkan perkhidmatan pasukan keselamatan itu di
negara ini.
Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata Rafoc memainkan
peranan penting berdasarkan pengalaman yang dimiliki mereka sebelum ini
meskipun sudah tidak berkhidmat lagi.
"Pengalaman mereka dalam aspek keselamatan dan sebagainya semasa
berkhidmat dahulu dilihat mampu dimanfaatkan anggota pasukan ATM
sekarang dan di masa akan datang.
"Melalui perkongsian pengalaman, cadangan serta pendapat Rafoc, ia
dilihat sebagai input dalam meningkatkan kemahiran dan kualiti
perkhidmatan termasuk perkara berkaitan. Skop pandangan mereka juga
mungkin lebih luas kerana mereka melihat dan memerhatikan perkembangan
ATM dari luar," katanya selepas menghadiri forum Rafoc 'Sehari Bersama
Pucuk Pimpinan ATM' dan pembentangan halatuju dan transformasi ATM di
sini, pada Rabu.
Zulkifeli menyifatkan Rafoc sebagai persatuan yang tetap releven dan
yakin Rafoc mampu menyalurkan cadangan bernas serta menyambut baik
sebarang pandangan mahupun cadangan dari semasa ke semasa bagi kebaikan
ATM sendiri.
Berkaitan fasa kedua Strategi Lautan Biru, Zulkifeli berkata rondaan
keselamatan antara ATM, Polis DiRaja Malaysia dan penduduk akan
diperluaskan ke 60 taman kediaman yang dikenal pasti.
"Sebelum ini rondaan melibatkan bandar-bandar utama negara tetapi
berdasarkan impak positif yang kita terima, dijangka dalam pertengahan
tahun ini kita akan laksanakan di 60 taman kediaman yang dikenal pasti,"
katanya.
Beliau berkata bagi 'Program Pemulihan Pemasyarakatan', sebuah lagi
pusat tahanan dan pemulihan banduan untuk pesalah ringan akan dibina di
Sabah dalam masa terdekat ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini
mengumumkan akan membina lima pusat tahanan dan pemulihan banduan di
lima buah kem tentera yang telah dikenal pasti bernilai RM12.5 juta
mulai tahun ini sebagai antara langkah di bawah Strategi Lautan Biru
dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sementara itu, Presiden Rafoc Jeneral (B) Tan Sri Datuk Mohd Ghazali
Mohd Seth berkata Rafoc sentiasa bersedia untuk memberikan sebarang
pandangan atau pendapat dalam meningkatkan perkhidmatan ATM.
"Kita ingin memberikan khidmat dan kudrat kita bagi menolong ATM tidak
kira dari aspek pasukan angkatan tentera, kebajikan pegawai-pegawai yang
telah bersara mahupun terhadap negara. Rafoc juga sedang berusaha
menambah keahlian yang ketika ini hanya seramai 500," katanya dan
menambah usaha itu bagi memastikan suara Rafoc didengari dan lebih
diyakini dengan keahlian yang lebih ramai.
Pada forum itu, Zulkifeli turut menyampaikan halatuju dan transformasi
ATM pada ketika ini manakala Rafoc mengetengahkan isu perbincangan
antaranya berkaitan layanan, kemudahan kesihatan, perubatan, perwarisan
pencen dan sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan