Khamis, 14 Julai 2016

Tempahan Nombor Pendaftaran 'V' Dibuka Mulai Jumaat


KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  membuka tawaran tempahan bagi siri pertama nombor pendaftaran kenderaan 'V' kepada orang awam bermula Jumaat hingga 28 Julai ini.

JPJ menerusi kenyataan pada Khamis berkata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan menggunakan nombor pendaftaran yang baharu bermula dengan huruf 'V'.

"Ini bagi menggantikan siri nombor pendaftaran yang bermula dengan huruf 'W' yang digunakan sebelum ini," kata kenyataan itu.

Orang ramai yang berminat boleh mengemukakan tempahan kepada Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan di sini dan panduan serta syarat-syarat lanjut mengenai tempahan boleh dilayari di laman sesawang JPJ di http://www.jpj.gov.my/.

Kerajaan Pulau Pinang belum kemukakan dokumen projek jambatan ketiga

Kementerian Kerja Raya mengesahkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang masih belum mengemukakan sebarang dokumen atau menetapkan tarikh menemui kementerian berhubung projek jambatan ketiga



Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata kementeriannya menegaskan lagi bahawa ia komited dalam membuat penilaian adil terhadap cadangan jambatan ketiga itu, untuk menghubungkan Pulau Pinang dengan tanah besar.

"Kami mengingatkan kerajaan Pulau Pinang agar berkongsi dengan kami semua dokumentasi relevan, agar kami dapat membuat keputusan bermaklumat demi kepentingan rakyat," kata beliau.


Remaja maut kenderaan terbabas

Seorang remaja lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kilometer 260.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora, semalam.


Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa Muhammad Shafiq Danial Alias, 18, maut di tempat kejadian manakala Muhammad Nur Hafiz Mohd Ridzwan, 20, patah kaki.

Pegawai Turus Trafik Kuala Kangsar, DSP Mohd Mahiri Hussin berkata siasatan awal mendapati kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dipandu Muhammad Shafiq hilang kawalan sebelum terbabas.