Ahad, 17 Mei 2015

Perintah berkurung esszone dilanjutkan


KOTA KINABALU - Fasa 20 perintah berkurung di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dilanjutkan mulai 18 Mei hingga 2 Jun dari 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, perintah berkurung merangkumi enam daerah melibatkan jarak tiga batu nautika dari pantai hingga ke titik garisan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna perairan, pelancong dan rakyat Sabah di daratan Esszone.

Penguatkuasaan ini memudahkan pemantauan pergerakan bot yang menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan, menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api.

Tol laluan jambatan ASEAN dimansuhkan

MIRI - 1 Jun 15 kenderaan yang menggunakan jambatan ASEAN tidak perlu membayar tol RM10

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengumumkan pemansuhan bayaran itu adalah langkah untuk mengurangkan beban pengguna yang melalui jalan itu bagi menghubungkan Malaysia dan Brunei.

Terima kasih kepada Shin Yang Group of Companies atas kerjasama mereka memansuhkan tol demi faedah rakyat Malaysia.

Katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 Bandaraya Miri di sini malam tadi.

Mangsa culik bersenjata selamat

KOTA KINABALU - Polis sahkan dua rakyat Malaysia mangsa culik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah restoran Ocean King di Sandakan, Khamis lalu berada dalam keadaan selamat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaludin Abdul Rahman berkata, kedua-dua mangsa iaitu Thien Nyuk Fun, 50 dan Bernard Then, 39 kini disembunyikan kumpulan penculik di sebuah pulau di perairan Filipina.

Polis telah menjumpai kedua-dua keluarga mangsa dan mengesahkan ada menerima panggilan telefon daripada penculik dan mereka meminta tuntutan wang, "nilai tidak dinyatakan" katanya di sini sebentar tadi.

Sabtu, 16 Mei 2015

Perdana Menteri ada jasa - Najib

KLANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan setiap perdana menteri melakukan yang terbaik serta mempunyai jasa dan sumbangan buat negara pada zaman masing-masing.

"Apa yang penting, adalah untuk kita lakukan yang terbaik dalam zaman kita kerana sejarah akan menilai kita, dan saya berazam untuk melakukan terbaik untuk rakyat," katanya pada majlis 'Sepetang bersama Perdana Menteri' anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor dengan kerjasama Badan Perhubungan UMNO Selangor di sini, hari ini.

Najib berkata: “Kita tahu jasa Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Pertama

Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj) kepada negara. Saya tidak boleh kata (saya) lebih baik daripada (ayahanda) Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein) dan juga pemimpin-pemimpin lain yang menjadi perdana menteri."

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menganggap dirinya sebagai perdana menteri yang terbaik berbanding lima perdana menteri sebelum ini.

Najib mengulas kenyataan Yang Dipertua Mubarak Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar dalam ucapan aluannya yang menganggap beliau sebagai perdana menteri terbaik berbanding perdana-perdana menteri Malaysia sebelum ini.

Jumaat, 15 Mei 2015

Dua beranak maut kemalangan



ALOR SETAR - Dua beranak maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas merempuh sebatang pokok kelapa di Kilometer 12.2 Lebuh Raya Utara-Selatan dari arah Jitra menghala Changlun, awal pagi tadi.

Kejadian pukul 2.30 pagi itu, pemandu kereta Salwa Salim, 31, dan anak lelakinya, Iman Syahmi Ahmad Irwandy, 6, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat.

Khamis, 14 Mei 2015

1.59 juta saman berstatus waran tangkap



KUALA LUMPUR - Hanya 20,966 daripada 1.59 juta saman berstatus waran tangkap yang dikeluarkan susulan kegagalan pengguna jalan raya membayar saman dan menghadiri perbicaraan di mahkamah, diselesaikan sebelum penguatkuasaan Ops Warta, minggu depan.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd. Fuad Abdul Latiff berkata, pihaknya memberi peluang kira-kira dua minggu kepada pesalah trafik membuat semakan dan bayaran sebelum tindakan tegas diambil, namun hanya sebilangan kecil menjelaskannya.

"Kita telah kenal pasti pesalah trafik yang memiliki waran tangkap ini di mana mereka berada dan minggu depan kita akan jejak dan tahan mereka seterusnya bawa ke mahkamah," katanya dalam program bual bicara Bernama Radio di sini hari ini.

Mohd. Fuad berkata, angka itu sangat rendah, sambil berpendapat bahawa pesalah trafik tidak menggunakan peluang diberikan walaupun hebahan telah dibuat sejak 30 April lepas.

Katanya, angka 1.59 juta itu merupakan baki dari 1.8 juta saman yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Ops Selamat 5 yang dilancarkan semasa Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.

Rani Kulup bertempur dengan komunis





SHAH ALAM - Menceritakan pengalamannya bergelar seorang tentera, Abdul Rani Kulup Abdullah, 60, berkata, beliau pernah berdepan dengan komunis yang mengganas di negara ini.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) atau lebih dikenali dengan panggilan Ayah Arka berkata, beliau menyertai bidang ketenteraan ketika usianya masih muda dan sentiasa bertekad melindungi masyarakat sehingga kini.

Katanya beliau pernah bertempur dengan pengganas komunis di Gua Musang Kelantan, selepas itu bertempur lagi di Kuala Kacau, dan Nibong dan paling
 ngeri terkena jerangkap samar yang dipasang oleh pihak musuh ketika misi risik gempur, masa itu, memang ada pasukan khas dalam pasukan tentera. Selain pasukan komando, kita juga ada pasukan perisik.

Saya berhenti pada tahun 2003 dan sejak itu, saya banyak melibatkan diri dengan aktiviti pertubuhan. Katanya semalam.

Berita palsu awie meninggal dunia



Penyanyi Awie masih hidup dan baharu sebentar tadi dihunungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Sebelum ini tersebar luas laporan yang tersebar dalam laman sosial mengatakan beliau meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya di Lahad Datu.

Bagaimanapun Awie yang dinyatakan dalam laporan itu difahamkan peminat fanatik beliau yang mendapat gelaran Awie Lahad Datu.

“Esok hubungi saya boleh kerana saya masih sibuk bekerja sekarang ini,” kata Awie.

Berita kematian Awie Lahad Datu itu sudah lama dilaporkan sejak 2013 tetapi ada pihak dilihat cuba melakukan gimik menyebarkannya semula dan menggunakan gambar Awie.

Cuepacs sokong Najib




KOTA KINABALU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam mengumumkan pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, Cuepacs akan berdiri teguh di belakang kepimpinan Najib tanpa rasa prejudis dan berbelah bahagi berharap beliau meneruskan tugas-tugasnya dan tidak perlu memikirkan perkara remeh-temeh yang mengganggu fikiran serta tidak memandang kebelakang dan terus maju.

Katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas perhimpunan Hari Pekerja 2015 peringkat negeri Sabah, hari ini.

Langkawi ribuan PATI mendarat

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara akan mengadakan perbincangan bersama bagi menangani isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) Bangladesh dan Myanmar yang mendarat di Langkawi pada Ahad lepas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri S.Subramaniam berkata, ketika ini kerajaan belum memutuskan mengenai status pendatang asing itu, namun telah pun bertindak memberikan bantuan kemanusiaan sewajarnya seperti perkhidmatan Kesihatan di Langkawi.
katanya kepada pemberita sebelum melancarkan Program "My Home" semalam.

Kem Rohingya, mayat ditemui di sempadan




SONGKHLA - Pihak berkuasa Thailand menemui sebuah lagi kem tahanan pelarian Rohingya di sempadan Thailand-Malaysia.
Kem yang dipercayai dibina setahun lepas itu, ditemui di atas Bukit Khao Kaew yang bersempadan dengan Malaysia semalam, Ia terletak hanya tiga kilometer daripada kem pertama yang mana 26 mayat pelarian Rohingya ditemui baru-baru ini.
Pihak berkuasa Thailand mengambil tindakan tegas ke atas aktiviti pemerdagangan manusia melibatkan pelarian Rohingya dan Bangladesh.
Kem itu dibina dengan lebih lengkap dan kukuh serta boleh memuatkan lebih 1,000 orang.

SPRM Beku Akaun Menteri Muda Sarawak

KUCHING - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membekukan beberapa akaun bank bernilai RM4 juta milik seorang Menteri Muda Sarawak bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohamad Jamidan Abdullah menyatakan hasil aduan dan maklumat mengenai penyalahgunaan kuasa melibatkan kontrak pembinaan sebuah bangunan 16 tingkat Baitul Makmur II bernilai RM250 juta.
Bagi menyiasat dakwaan ini, keterangan seorang anggota pentadbiran yang merupakan Menteri Muda Sarawak telah diambil, turut diambil kenyataan ialah seorang ahli perniagaan berusia 50-an yang merupakan pengarah syarikat yang terlibat dalam projek pembinaan bangunan milik kerajaan negeri itu. 

Rabu, 13 Mei 2015

Penuntut Maut Terbabas Motorsikal


DUNGUN - Seorang penuntut Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jenagor maut selepas motosikalnya terbabas di Lebuh Raya Pantai Timur 2 berhampiran Plaza Tol Dungun petang tadi.
Mohammad Imran Johari, 21, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan lain dalam kemalangan 3 petang tadi ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 49, Kampung Sura.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Kontraktor penjara lima hari pukul teman wanita



KUALA LUMPUR - Seorang kontraktor dipenjara lima hari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret kerana memukul teman wanitanya sehingga pengsan selepas bertengkar mengenai kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam telefon bimbit wanita itu.

Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Faiz Mohamad Khalid, 24, setelah mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan pekerja bahagian pemasaran sebuah syarikat, Nur Ezzati Sabdul Khodry, 24, di medan letak kereta Jalan P.Ramlee, Dang Wangi, pada pukul 5 pagi, 7 Mei lepas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk denda namun Timbalan Pendakwa Raya, S.Ravindran berkata, tertuduh perlu diberi hukuman setimpal kerana menyebabkan mangsa cedera di bahagian kening kiri serta mengalami trauma.